Koperasi instrumen penting demokrasi sosial, perkasa ekonomi rakyat
14 JUN : Koperasi perlu dilihat sebagai instrumen penting demokrasi sosial yang mampu memperluas penyertaan rakyat dalam ekonomi serta memastikan manfaat pertumbuhan negara dinikmati secara lebih adil dan menyeluruh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demokrasi yang sebenar bukan sekadar berkisar soal perebutan kuasa sebaliknya turut melibatkan penyertaan rakyat dalam kehidupan ekonomi serta peluang untuk menikmati hasil pembangunan negara.
“Saya melihat gerakan koperasi dari sudut yang lebih luas daripada keuntungan atau pulangan dividen semata-mata.
“Hakikatnya koperasi membawa gagasan besar yakni membina kekuatan ekonomi rakyat melalui penyertaan lebih luas dan perkongsian manfaat yang lebih adil, berbanding kekayaan yang hanya dimonopoli segelintir pihak yang mempunyai kekuatan modal dan pengaruh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan KOPROJAYA kali Ke-10 di Putrajaya, hari ini.
Menurut Anwar, perkara itu disampaikan ketika berucap pada majlis berkenaan.
Katanya, konsep berkenaan selari dengan pandangan tokoh kemerdekaan Indonesia, Bung Hatta yang melihat koperasi sebagai wahana penting untuk mencapai pemerataan ekonomi dan keadilan sosial melalui penglibatan rakyat secara meluas dalam aktiviti ekonomi.
Beliau turut merujuk pemikiran Dr B.R. Ambedkar di India yang menegaskan bahawa demokrasi tidak bermakna sekiranya gagal menghapuskan sistem yang menindas serta jurang yang memisahkan masyarakat.
Tambah Anwar, prinsip sama sudah lama terpancar dalam ajaran Islam melalui semangat ta’awun atau kerjasama dalam kebaikan.
“Ia mengajar bahawa kelompok yang lemah tidak boleh dibiarkan berdepan cabaran secara bersendirian, sebaliknya perlu dihimpunkan kekuatan mereka agar mampu berdiri lebih teguh dan membina masa depan yang lebih baik bersama-sama.
“Justeru, saya melihat koperasi sebagai antara instrumen penting demokrasi sosial. Ia memperluas penyertaan, memperkasa rakyat dan memastikan manfaat pertumbuhan tidak hanya berlegar dalam kalangan segelintir, tetapi dinikmati seramai mungkin anggota masyarakat,” katanya.
Anwar berkata, dalam kerangka Malaysia MADANI, kerajaan terus memberi tumpuan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan serta meneroka bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan peralihan tenaga.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemajuan tersebut hanya mempunyai makna sekiranya hasilnya dapat diagihkan secara adil dan dirasai majoriti rakyat.
“Keadilan bukan bererti memberi perkara yang sama kepada semua. Keadilan bererti memastikan setiap rakyat mendapat peluang mengikut keperluan dan keadaan masing-masing.
“Inilah yang dimaksudkan dengan keadilan sosial dan adil wal ihsan, memastikan kemajuan negara menjunjung martabat manusia dan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat,” katanya.
