15 JUN : Institut Akhbar Malaysia (MPI) menganjurkan forum bagi membincangkan cabaran yang dihadapi bidang kewartawanan dalam era digital, khususnya mengimbangi tuntutan kepantasan penyampaian berita dengan aspek tanggungjawab, etika dan kepercayaan masyarakat terhadap media.
Penganjuran dialog industri, ‘Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed Trust and Impact – ‘An Industry Dialogue’ selama dua hari itu mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Penerangan Malaysia.
Forum ini akan dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Program itu menghimpunkan kira-kira 120 peserta yang terdiri daripada ketua pengarang, editor kanan, wartawan, pengamal media, pegawai komunikasi korporat, wakil agensi kerajaan serta ahli akademik.
Forum tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan meneroka pendekatan praktikal bagi memperkukuh kewartawanan beretika, pelaporan yang bertanggungjawab serta kredibiliti media dalam persekitaran maklumat yang semakin kompleks dan pantas berubah.
Antara panel terlibat ialah ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez yang akan membincangkan trend semasa, reaksi masyarakat dan implikasi keselamatan dalam talian dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ta Kah Loon akan menyentuh isu kandungan dalam talian yang memudaratkan, jenayah, keselamatan awam juga pengesahan maklumat.
Esok, bekas Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Suhaimi Sulaiman akan membentangkan peranan media dalam memperkukuh keselamatan dalam talian dan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam era digital.
Perbincangan pada sesi pleno bertajuk “Dilema Editor: Mengimbangi Kepantasan, Ketepatan dan Pencegahan Kemudaratan” akan meneliti cabaran bilik berita dalam mengurus kandungan tular, menangani maklumat yang belum disahkan, melindungi kebebasan editorial dan berdepan tekanan komersial serta platform digital yang semakin meningkat.
Program itu akan ditutup dengan pembentangan resolusi industri oleh Presiden MPI, Yong Soo Heong diikuti ucapan penutup oleh ahli Suruhanjaya MCMC, Mohamad Salmi Mohd Sohod.
Menurut MPI, dialog berkenaan dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh amalan kewartawanan yang bertanggungjawab, meningkatkan profesionalisme media dan mengukuhkan kepercayaan masyarakat ketika kandungan tular, platform digital serta jangkaan audiens terus berkembang pesat.