15 JUN : Malaysia menyambut baik pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Iran.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata MoU itu menandakan satu langkah penting ke arah pengurangan ketegangan di Asia Barat serta mewujudkan asas bagi mencapai penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan.
“Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Türkiye serta negara-negara serantau atas peranan masing-masing dalam menyokong usaha diplomatik serta dialog antara pihak-pihak berkenaan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, Pakistan mengumumkan AS dan Iran memetrai perjanjian damai itu selepas rundingan intensif yang dilaksanakan untuk beberapa waktu.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata Malaysia turut mengiktiraf komitmen serta penglibatan konstruktif semua pihak dalam memajukan usaha mengurangkan ketegangan serta mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata Malaysia mengharapkan agar pemeteraian MoU di Switzerland yang dijadualkan pada 19 Jun 2026 akan membuka ruang kepada rundingan susulan ke arah pemeteraian satu perjanjian keamanan yang kekal dan menyeluruh.
“Malaysia turut berharap langkah-langkah pelaksanaan awal termasuk aturan keselamatan maritim, pelaksanaan pelepasan sekatan secara berfasa serta langkah-langkah yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat dapat menyumbang ke arah penghentian permusuhan secara berkekalan, peningkatan kestabilan serantau, perlindungan kebebasan navigasi di Selat Hormuz serta pengukuhan ekonomi global dan keselamatan tenaga,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut Wisma Putra, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai menerusi dialog, diplomasi dan penghormatan bersama.
“Malaysia sentiasa bersedia untuk menyokong segala inisiatif konstruktif yang menyumbang kepada pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta pengukuhan keadilan dan kemakmuran sejagat,” kata kementerian itu lagi.