26 JUN : Reformasi institusi yang diusahakan kerajaan ketika ini melalui pindaan Perlembagaan untuk mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya tiada kaitan dengan politik.
Perkara itu ditegaskan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang perlu melihat pindaan itu dari sudut kepentingan negara dan institusi demokrasi.
Katanya, pengasingan peranan itu mampu membebaskan institusi pendakwaan daripada pengaruh pihak eksekutif.
“Ini akan menjamin institusi pendakwaan yang mempunyai kuasa besar dapat menjalankan tanggungjawabnya secara bebas tanpa dipengaruhi atau diarahkan oleh mana-mana pihak bagi tujuan tertentu.
“Kita perlu meletakkan negara dan Parlimen pada satu kedudukan yang jauh daripada permainan politik. Ini tiada kaitan dengan politik, sebaliknya untuk masa depan negara.
“Insya-Allah, kita berharap semua Ahli Parlimen dapat melihat perkara ini sebagai satu reformasi institusi demi kepentingan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) itu dibuat selepas mengambil kira cadangan dikemukakan ahli-ahli Parlimen yang membuktikan Kerajaan MADANI mendengar pandangan semua pihak.
“Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan sebelum ini.
“RUU itu melalui proses jawatankuasa dan beberapa perubahan telah dibuat bagi memasukkan isu-isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau menambah kerajaan komited untuk membahaskan dan meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu pada sesi persidangan Parlimen kali ini.