10 NOV : Polis memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan kekecohan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, 14 November ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, seramai 3,332 anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran proses pengundian di semua pusat mengundi, termasuk anggota Pasukan Cantas.
Selain itu, Dzulkhairi turut mengingatkan penyokong parti politik agar mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang ugutan atau paksaan terhadap pengundi.
Sepanjang tempoh 11 hari berkempen, beliau memaklumkan pihaknya menerima 19 laporan membabitkan pelbagai kesalahan.
Menurutnya, laporan diterima itu termasuk perbuatan khianat, pembakaran bendera dan pergaduhan, dengan 18 kertas siasatan dibuka namun tiada tangkapan dibuat, setakat ini.
“Kebanyakan kertas siasatan terbabit dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dan Seksyen 435 KK iaitu khianat dengan api membabitkan tindakan membakar bendera.
“Selain itu, terdapat juga kesalahan hasutan dan ugutan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, hari ini.
Setakat ini katanya, keadaan kempen yang berlangsung sejak 31 Oktober lalu di seluruh 28 Dewan Undangan Negeri kekal tenang dan terkawal tanpa sebarang insiden kekacauan dilaporkan.
Menurutnya, polis mengggerakkan 669 anggota ke lapangan bagi memantau aktiviti kempen di seluruh negeri.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , Datuk Seri Ramlan Harun berkata pihaknya mensasarkan 95 peratus pengundi awal keluar mengundi, hari ini.
Menurutnya, seramai 12,531 pemilih layak mengundi yang merangkumi 9,769 anggota tentera bersama pasangan serta 2,762 pegawai dan anggota polis.
Ramlan berkata, sebanyak 31 pusat mengundi dengan 50 saluran disediakan dan akan ditutup mengikut jadual ditetapkan.
