27 JUN : Semua pihak diingatkan agar berkempen secara sihat dan tidak menabur fitnah demi meraih sokongan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata seluruh jentera dan penyokong perlu berpegang pada asas itu bagi memastikan proses demokrasi berjalan dengan tenang.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak bertindak sesuai undang-undang.
“Kita berkempen secara sihat, dengan fakta dan bukan fitnah. Kita pastikan budaya dan cara kita berkempen itu penuh adab dan ketertiban.
“Sekiranya melakukan apa-apa kesalahan dalam tempoh pilihan raya, maka pihak SPR dan pihak PDRM boleh mengambil tindakan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai di Gerai Setara Taman Banang Jaya, semalam.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform media sosial akan bertindak bagi menyekat penularan maklumat palsu termasuk melibatkan institusi diraja, agama dan kaum (3R).

*Foto: Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Johor