4 JULAI: Agenda pembangunan Bumiputera tidak lagi boleh dipikul oleh agensi khusus secara bersendirian, sebaliknya perlu menjadi tanggungjawab bersama semua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan agensi Bumiputera baharu, sebaliknya memberi tumpuan untuk memperkasakan institusi sedia ada serta menyelaras peranan semua pihak bagi memastikan agenda pembangunan tersebut dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menurut Menteri Kewangan itu, pendekatan berkenaan mampu mengelakkan pertindihan fungsi selain memastikan setiap institusi saling melengkapi dalam memperkasakan pembangunan Bumiputera sebagai sebahagian daripada agenda nasional.
“Saya ingatkan program pembangunan Bumiputera itu bukan tugas khusus agensi Bumiputera semata-mata, tetapi menjadi agenda nasional.
“Sebab itu saya tidak cenderung menubuhkan agensi Bumiputera baharu tetapi saya cenderung memastikan agensi ini (sedia ada) diperkasa, agensi, jabatan lain dan kementerian semuanya mesti diselaraskan.
“Baru-baru ini saya panggil semua pengurusan syarikat milik kerajaan termasuk GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) yang ada termasuk yang khusus untuk Bumiputera iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan sebagainya.
“Ada Maybank, PETRONAS yang besar-besar. Tapi saya ingatkan program pembangunan Bumiputera bukan tugas khusus bagi agensi Bumiputera semata-mata, tetapi menjadi agenda nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan SPARK 2026: Transformasi Niaga di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara tanpa mengabaikan aspek pengagihan kekayaan secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat.
Katanya, pembangunan ekonomi perlu bersifat inklusif supaya setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat daripada pertumbuhan yang dicapai.
“Kita tidak menghalang sesiapa bekerja keras memacu pertumbuhan ekonomi, sama ada dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, ekonomi digital atau peralihan tenaga. Tetapi pada masa sama kita mesti memastikan pengagihan yang adil,” katanya.
Menurutnya, kerajaan bertanggungjawab memastikan hasil pertumbuhan ekonomi diagihkan secara adil supaya tiada golongan mahupun wilayah tercicir daripada arus pembangunan negara.