9 JUL: Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan diplomatik jangka panjang terhadap Norway susulan pembatalan perolehan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pada masa sama, tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadap syarikat pertahanan negara it, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah berkenaan penting bagi mempertahankan maruah dan kepentingan negara selepas Norway membatalkan pembekalan sistem persenjataan yang sepatutnya melengkapkan aset TLDM.
“Saya mengikuti ketegasan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pertahanan yang membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat dari Norway selepas membatalkan pembekalan peluru berpandu yang seharusnya dibekalkan sepenuhnya bagi melengkapkan kapal perang TLDM.
“Walaupun negara itu menerima arahan daripada pihak lain untuk menghentikan pembekalan, tindakan itu sangat tidak beretika kerana pembekalan dilakukan kepada TLDM.
“Bukan hanya tindakan undang-undang, hubungan diplomatik dan menghantar nota bantahan, Kementerian Luar juga mesti melakukan tindakan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Endau, Mersing, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan turut mempertimbangkan untuk menghentikan pembelian sebarang bekalan atau barangan dari Norway sebagai tindak balas.
“Ini pendirian negara, maka apabila ia pendirian dan keputusan rasmi negara, tentunya sebarang bekalan atau barangan dari negara itu harus dipertimbangkan untuk dihentikan pembeliannya.
“Tindakan ini untuk menghantar satu mesej jelas, jangan perkotak-katikkan Malaysia walaupun negara yang relatifnya kecil, tetapi kita sebuah negara bermaruah,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan mengambil tindakan tegas dengan tidak lagi mempertimbangkan sebarang perolehan pertahanan dari Norway.
