PM minta DAP Melaka tangguh keputusan tarik sokongan
14 JUL : DAP diminta menangguhkan keputusan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka bagi memastikan kerjasama yang terjalin dapat diteruskan sehingga pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah berhubung dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkait keputusan tersebut.
“Saya cakap tadi dengan Anthony Loke dengan DAP dan Ketua Menteri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), kalau boleh runding dulu supaya tangguh sekejap…sehingga pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pelabuhan Midport di Pasir Panjang, Port Dickson, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), perbezaan pendapat dalam beberapa hal merupakan perkara biasa.
“Sebaiknyalah, walaupun dua tiga perkara tidak bersetuju takpalah sekarang ni banyak benda yang kita tak setuju sama.
“Tapi dari segi dasar untuk pertumbuhan ekonomi dan rakyat kita teruskan, jadi saya harap dia (DAP) pertimbangkan supaya kerja kita tidak terganggu,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong mengumumkan penarikan balik sokongan terhadap kerajaan negeri dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka akan berperanan sebagai pembangkang.
Keputusan itu susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan ADUN.
Empat ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah melepaskan kesemua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.
Menurut Poay Tiong, PH tidak boleh terus berada dalam kerajaan selepas menolak usul yang bercanggah dengan prinsip politik dipegang gabungan tersebut.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA