16 JUL : Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini mengesahkan penarikan diri lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu daripada kerajaan negeri.
Dalam kenyataan bersama, PH Melaka berkata penarikan diri itu selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi.
“Kepimpinan PH Melaka bersama ADUN PH Melaka hari ini telah mengadakan mesyuarat terkait perkembangan semasa. Mesyuarat mengesahkan keputusan penarikan diri kelima-lima ADUN PH Melaka daripada kerajaan negeri selepas memuktamadkan pendirian menolak pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi tujuan mewujudkan jawatan ADUN Lantikan.
“Penarikan diri daripada kerajaan negeri ini adalah selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi bahawa apabila seseorang EXCO atau ADUN daripada kerajaan negeri tidak lagi menyokong sesuatu usul kerajaan negeri di dalam Dewan Undangan Negeri, adalah tidak layak lagi bagi EXCO atau ADUN tersebut menikmati keistimewaan dan kemudahan kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu, hari ini.
PH Melaka turut memutuskan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada gabungan itu akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai 2026.
Menurut kenyataan itu, tempoh berkenaan diberikan bagi memastikan proses peralihan pentadbiran berjalan lancar.
PH Melaka pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Kerajaan Negeri Melaka serta penjawat awam atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh mereka berada dalam pentadbiran negeri.
Gabungan itu turut menegaskan kelima-lima ADUN PH akan terus melaksanakan tanggungjawab dan memperhebatkan khidmat kepada rakyat Melaka tanpa mengira fahaman politik sehingga tamat mandat yang diberikan.
Lima ADUN itu ialah Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh) dan ADUN Amanah, Adly Zahari (Bukit Katil).
Kenyataan bersama tersebut ditandatangani Pengerusi PH Melaka, Adly; Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Kelmarin, Poay Tiong mengumumkan DAP Melaka menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan ADUN diluluskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya meminta DAP Melaka agar menangguhkan keputusan itu bagi memastikan kerjasama yang terjalin dapat diteruskan sehingga pilihan raya negeri tidak lama lagi.