Sekolah diingatkan jangan sorok kes buli
17 JUL : Pihak pentadbiran sekolah diingatkan agar tidak menyembunyikan kes buli demi menjaga imej.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan menyorokkan kes buli itu merupakan satu kesalahan.
“Saya tidak fikir seorang guru besar atau pengetua itu salah kalau dia bongkar satu kes. Pelajar ada 1,000 (orang), ada dua kes buli tak kan hendak salahkan pengetua.
“Tetapi salah kalau dia tidak mengambil tindakan dan hendak tutup kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek, hari ini.
Menurut Anwar, kejadian buli masih kerap berlaku yang menjadi penyakit akhlak.
“Kalau kita bongkar betul-betul, hari-hari ada kes buli. Ini tak boleh, maknanya menjadi satu penyakit…penyakit akhlak,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata pendidikan perlu melahirkan individu yang cemerlang dalam akademik dan akhlak sekali gus membentuk insan yang memahami nilai kemanusiaan serta menghormati orang lain.
“Kita boleh jadi teknokrat, pakar IT (teknologi maklumat) atau memiliki PhD (doktor falsafah), tetapi untuk apa semua itu kalau tidak dididik menjadi manusia yang memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang lain,” katanya.
Justeru itu, beliau menekankan bahawa guru-guru hari ini mempunyai tanggungjawab besar untuk melahirkan generasi beriman, berakhlak dan mempunyai sifat ihsan terhadap sesama manusia.
“Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menjadi teladan yang sentiasa bersedia belajar, menerima perubahan dan meningkatkan kualiti diri.
“Dalam dunia yang berkembang pesat dengan kemajuan digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga, guru serta bakal pemimpin perlu berani berinovasi, menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan pedagogi dengan tuntutan semasa,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar mengingatkan pelajar bahawa asas kepimpinan bermula dengan sikap untuk tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian sendiri.
“Inilah semangat itqan fil ’amal yakni menyempurnakan setiap amanah dan pekerjaan sebaik mungkin, sambil terus memperbaiki diri dalam ilmu, akhlak, ibadah, pendekatan mengajar dan mutu kerja,” katanya lagi.
Selain itu, beliau turut menzahirkan keyakinan generasi muda memiliki potensi besar untuk memimpin perubahan, namun potensi itu hanya akan dapat direalisasikan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran, kerjasama erat dengan industri serta semangat yang tidak pernah luntur untuk terus mengejar kecemerlangan.
