18 JUL : Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjadikan kestabilan politik sebagai tawaran utama kepada rakyat Negeri Sembilan menerusi kerjasama kedua-dua gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kedua-dua gabungan akan memastikan kemenangan di kesemua kerusi yang ditandingi.
“Alhamdulillah, saya rasa yang paling penting kita ada kesefahaman, sama-sama memastikan semua tempat kita menang.
“Pentingnya kita kempen secara berhemah dan apa yang kita nak tawarkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi calon bagi proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama itu juga menyaksikan wujudnya persefahaman antara parti-parti yang berteraskan Melayu dan Islam.
“Rakyat Negeri Sembilan seperti mana di Johor, kita nak tawarkan yang terbaik untuk mereka.
“Paling penting asas kestabilan itu apabila kita dapat lihat ada kerjasama dan persefahaman parti-parti yang menjadi teras orang Melayu dan Islam.
“Dan juga yang paling penting kita harus mengakui realiti bahawa Negeri Sembilan ini adalah negeri pelbagai kaum dan agama di mana kita meraikan kepelbagaian itu,” katanya.
Dalam PRN kali ini, BN mempertaruhkan 25 calon sementara PN meletakkan 11 calon.
PRN Negeri Sembilan bermula secara rasmi hari ini selepas proses penamaan calon bagi 36 DUN selesai, pagi tadi.
Hari pengundian ditetapkan berlangsung pada 1 Ogos depan.
