eFishery: Tiada kompromi jika ada penyelewengan
20 JUL : Kerajaan memberi jaminan siasatan terhadap pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery akan dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi jika terdapat unsur rasuah atau penyelewengan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun laporan awal menunjukkan tidak wujud unsur sedemikian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau sudah menemui pengurusan KWAP dan menegaskan keperluan untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.
“Saya telah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan (bahawa mereka) harus beri kerjasama sepenuhnya. Walaupun melihat pada laporan awal, saya percaya tidak ada unsur-unsur sebegitu.
“Saya ingin tekankan bahawa kita tidak boleh bertolak ansur sekiranya ada penyelewengan atau rasuah.
“Oleh sebab itu, walaupun kita berpendapat sedemikian, SPRM harus juga melihat proses pelaburan dan keputusan dibuat oleh panel pelaburan yang akhirnya dipersetujui oleh lembaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Wan Martina Wan Yusoff yang ingin mengetahui sama ada kerajaan telah, sedang atau akan melaksanakan transformasi bagi menentukan syarikat yang menjadi destinasi pelaburan pada masa depan serta jaminan kerajaan bahawa wang rakyat akan terus terjamin dalam setiap pelaburan.
Sebelum itu, Anwar turut menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP, mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.