21 JUL : Seramai 19 warga asing yang berkait dengan Network School masih gagal dikesan, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih mengesan warga asing tersebut selepas gagal mengesan pergerakan mereka sama ada masih berada di Malaysia atau sudah meninggalkan negara ini melalui laluan tidak sah.
Zakaria berkata 210 daripada 430 warga asing yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan Network School masih berada di negara ini sementara 201 lagi direkodkan sudah keluar dari Malaysia.
“Daripada jumlah itu, kita ada 19 orang yang tidak dapat dikesan pergerakannya. Mungkin mereka keluar secara tidak sah ataupun mereka juga masuk secara tidak sah.
“Perkara itu akan disiasat lanjut. Kita akan kesan sama ada mereka masih berada dalam negara ataupun sudah keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di Cyberjaya, hari ini.
Network School dilancarkan pelabur teknologi, Balaji Srinivasan pada 2024 yang menyasarkan golongan digelar techno-optimist dengan yuran lebih RM6,000 sebulan bagi menampung penginapan dan kemudahan lain.
Isu School Network mula mendapat perhatian selepas dakwaan tular di media sosial berkait penglibatan rakyat Israel.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap operasi tersebut susulan kebimbangan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua untuk masuk ke negara ini.
Susulan itu, JIM memaklumkan pihaknya menjalankan naziran terhadap komuniti tersebut dan mendapati 266 individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen sah berdasarkan rekod semasa.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata setakat ini pihaknya sudah menjalankan dua pemeriksaan imigresen di Forest City itu namun tidak menemukan sebarang bukti yang menyokong dakwaan termasuk kewujudan penggunaan dua pasport.
“Sehingga kini, dua kali pemeriksaan imigresen yang kita laksanakan, kita tidak menjumpai apa yang didakwa,” katanya.
Mengulas dakwaan terdapat individu menggunakan dua pasport, Zakaria berkata JIM setakat ini tidak mengesan sebarang kes sedemikian membabitkan warga asing yang diperiksa.
Katanya, kesemua individu terbabit menggunakan pasport yang sah dan sistem imigresen hanya mampu mengesan pemilikan pasport berbeza sekiranya seseorang menggunakan dokumen perjalanan yang berlainan ketika keluar dan masuk negara.
“Kalau seseorang itu secara konsisten menggunakan satu pasport yang sama, sistem kita tidak dapat mengesan sama ada dia memiliki pasport lain.
“Namun, jika dia masuk menggunakan satu pasport dan keluar menggunakan pasport berbeza, sistem biometrik imigresen akan mengesannya secara automatik,” katanya.