22 JUL : Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina bertekad pulang ke tanah air untuk menghadapi perbicaraan meskipun sedar beliau berdepan risiko dipenjarakan atau dihukum mati susulan sabitan terhadapnya berhubung tindakan keras ke atas protes pelajar pada 2024.
Dalam temu bual bertulis bersama Kyodo News, pemimpin berusia 78 itu menegaskan beliau tidak akan melarikan diri daripada proses perundangan walaupun menyifatkan pertuduhan terhadapnya sebagai bermotifkan politik.
“Saya akan pulang ke Bangladesh. Saya akan hadir di mahkamah.
“Mereka mungkin memenjarakan saya. Mereka mungkin cuba menggantung saya. Saya sedar akan risiko itu,” katanya.
Hasina meninggalkan Bangladesh dan mendapatkan perlindungan di India selepas meletak jawatan pada Ogos 2024 ketika protes besar-besaran tercetus susulan kontroversi sistem kuota jawatan perkhidmatan awam.
Pada November tahun lalu, Tribunal Jenayah Perang Bangladesh menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau secara in absentia atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan.
Kerajaan Bangladesh turut memohon India mengekstradisi Hasina, manakala New Delhi memaklumkan permohonan itu sedang diteliti mengikut proses perundangan.
Mengulas laporan mengenai hasrat Hasina untuk pulang, kerajaan Bangladesh berkata pihaknya berusaha membawa bekas perdana menteri itu pulang bagi menghadapi perbicaraan dan akan memastikan beliau diberi peluang membela diri.
Protes yang bermula sebagai bantahan terhadap kuota 30 peratus jawatan perkhidmatan awam untuk keturunan veteran Perang Kemerdekaan 1971 kemudian berkembang menjadi gerakan anti-kerajaan. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 orang terbunuh, kebanyakannya akibat tembakan pasukan keselamatan.
Hasina bagaimanapun menafikan mengarahkan pembunuhan itu dan mendakwa gerakan berkenaan dimanipulasi pihak lawan politik.
Beliau turut menggesa siasatan forensik bebas dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian setiap mangsa.
Hasina, anak kepada pengasas Bangladesh Sheikh Mujibur Rahman, memimpin negara itu selama lima penggal sebelum digulingkan.
Selepas beliau meninggalkan negara itu, kerajaan sementara diterajui pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus mengambil alih pentadbiran sebelum Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya Februari 2026.