Kekal sekat Israel, Malaysia tidak tunduk tekanan AS
22 JUL : Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa Washington mengambil tindakan terhadap negara ini susulan pendirian kerajaan menyekat kemasukan warganegara Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia berhak menentukan dasar sendiri sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, selain menegaskan larangan terhadap rakyat Israel bukan dasar baharu, sebaliknya sudah dilaksanakan sejak puluhan tahun lalu.
“Tadi kita dapat maklumat dari AS, badan perundangan mereka telah buat kenyataan menyelar saya kerana keputusan Malaysia untuk menyekat kemasukan rakyat Israel termasuk dalam isu perdagangan dan sebagainya.
“Ternyata mereka tidak ikuti langsung perkembangan. Banyak negara yang melarang dan Malaysia melarang (kemasukan Israel) puluhan tahun. Jadi mereka gunakan kesempatan sekarang untuk mengugut saya dan Malaysia… memohon supaya kerajaan Amerika mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, hari ini.
Anwar berkata pendirian Malaysia terhadap Israel berpunca daripada kekejaman berterusan rejim itu terhadap rakyat Palestin, termasuk pembunuhan orang awam serta pendudukan wilayah Palestin.
“Kita jawab dengan jelas. Pertama dia kena faham, ini negara merdeka dan berdaulat. Tentangan kita kepada Israel kerana kezaliman mereka, kerana penjajahan mereka, kerana pembunuhan setiap hari.
“Mana mungkin wakil-wakil rakyat negara mereka boleh memadamkan kenyataan tentang pembunuhan anak-anak, wanita, pemusnahan rumah (dan) penaklukan negeri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Malaysia bebas menyuarakan pendirian berhubung isu Palestin tanpa dipengaruhi tekanan mana-mana pihak.
“Malaysia ini negara merdeka. Kalaupun mereka yang bercakap itu tidak merdeka, tidak bebas menyuarakan… kita bebas menyuarakan.
“Oleh itu, ia tidak menghalang…dia boleh buat ugutan tapi saya akan tegas pertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan dibuat oleh rakyat Malaysia untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warganegara Israel di Malaysia,” katanya.