23 JUL : Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menghormati pendirian konsisten Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel meski isu itu sebelum ini dipertikai lapan ahli Kongres negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia serta AS kini mencapai persefahaman bagi menguruskan isu berkenaan melalui saluran diplomatik.
Menurutnya, penjelasan sudah diberikan kepada Jabatan Negara AS berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel.
“Duta (Duta Besar Malaysia di Washington Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob) kita sudah terangkan dengan Department of State, Wisma Putra juga sedang berhubung atau telah berhubung dengan Kedutaan Amerika di sini.
“Chargé d’Affaires mereka di AS, di Kuala Lumpur berhubung dan bersama-sama bersetuju untuk kita urus perkara ini dengan sebaik mungkin, mereka menghormati. Department of State mengatakan mereka menghormati dasar Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Sembang Santai Bersama Tok Mat Hasan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan lapan ahli Kongres yang menggesa Washington mengambil tindakan terhadap negara ini susulan pendirian kerajaan menyekat kemasukan warganegara Israel.
Menurut Anwar, Malaysia berhak menentukan dasar sendiri sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, selain menegaskan larangan terhadap rakyat Israel bukan dasar baharu, sebaliknya sudah dilaksanakan sejak puluhan tahun lalu.
Terdahulu, media melaporkan lapan Ahli Kongres AS itu menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel di Malaysia.
Ahli kongres daripada Parti Demokrat itu ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Greg Landsman di akaun Facebook miliknya, kumpulan Ahli Kongres itu menyuarakan kebimbangan serius terhadap pendirian yang dinyatakan Anwar.