23 JUL : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima beberapa aduan termasuk dua melibatkan akaun palsu dan 14 lagi masalah rangkaian sepanjang tempoh berkempen di Negeri Sembilan, setakat ini.
Namun, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata angka sebenar yang berlaku melibatkan kandungan palsu mungkin lebih banyak.
Justeru itu, beliau berkata pihaknya memerlukan kerjasama orang ramai melaporkan sebarang kandungan palsu yang ditemui.
“Berhubung akaun palsu, MCMC memaklumkan baru dua (aduan), setakat ini.
“Namun, itu tidak bermakna jumlah kandungan palsu yang disebarkan hanya dua atau mungkin tiada lagi…mungkin ada lebih daripada itu.
“Jadi, kita memerlukan kerjasama orang ramai yang melihat apa-apa kandungan meragukan supaya membuat laporan,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas Program Ziarah Kasih di FELDA Palong Satu, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata meski keadaan media sosial setakat ini masih terkawal namun pihaknya menjangkakan penyebaran maklumat bakal meningkat pada fasa akhir kempen kelak.
“Biasanya dalam tempoh 72 hingga 96 jam terakhir, akan ada pecutan akhir daripada pelbagai pihak.
“Kita berharap tidak berlaku satu keadaan kebanjiran maklumat palsu, terutama dalam tempoh kritikal itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai segera membuat laporan sekiranya menemui kandungan yang meragukan atau akaun palsu bagi membolehkan tindakan diambil dengan segera.
Katanya, laporan juga perlu dibuat terhadap kandungan yang melanggar peraturan pilihan raya atau garis panduan platform media sosial bagi memastikan kempen berlangsung secara sihat dan beretika.
*Foto : Facebook Fahmi Fadzil