KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN
Kerajaan Malaysia berjaya melaksanakan penetapan harga ke atas Sukuk Global dalam dolar AS berjumlah AS$1.5 bilion yang mencatatkan lebihan langganan sebanyak 4.7 kali, dengan jumlah permintaan langganan tertinggi melebihi AS$9.5 bilion. Terbitan ini merangkumi AS$850 juta dengan tempoh matang 5.75- tahun dan AS$650 juta dengan tempoh matang 10-tahun. Permintaan yang kukuh ini membolehkan kerajaan menetapkan harga akhir terendah sebanyak 30 mata asas daripada Panduan Harga Awal (IPG) kepada T+15 mata asas bagi tranche 5.75-tahun dan sebanyak 30 mata asas kepada T+25 mata asas bagi tranche 10-tahun, sekaligus mencapai kadar spread terendah pernah dicatatkan bagi terbitan sukuk global Malaysia.
Terbitan ini membuktikan kedudukan Malaysia dalam pasaran kewangan antarabangsa dengan penetapan penanda aras baharu yang akan berfungsi sebagai panduan harga yang penting untuk terbitan global baharu entiti berkaitan kerajaan dan sektor swasta negara. Di samping itu, terbitan ini menyokong penglibatan berterusan bersama pelbagai segmen pelabur global. Permintaan yang kukuh ini mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap agenda pembaharuan fiskal dan ekonomi Malaysia. Sukuk ini adalah bersandarkan aset yang merangkumi hak perkhidmatan dalam rangkaian pengangkutan rel awam bandar di Malaysia dan distrukturkan di bawah konsep Manafae selaras dengan garis panduan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI). Pencapaian ini menekankan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam dan pasaran Sukuk terkemuka dunia.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata ‘Dasar ekonomi Malaysia pada hari ini dipandu oleh kerangka Ekonomi MADANI dan telah memacu negara di landasan yang tepat. Kita telah memperkukuh kewangan awam, memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan serta meletakkan asas yang teguh dalam membina daya tahan Malaysia bagi jangka masa panjang’.
“Lebihan langganan yang tinggi dengan kadar spread terendah mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan dasar pembangunan negara yang kukuh. Ini membuktikan bahawa agenda pembaharuan, strategi pengurusan hutang yang berhemat dan komitmen terhadap pertumbuhan mampan terus menarik sokongan pelabur berkualiti tinggi meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar,” tambah beliau.
Sambutan yang menggalakkan ini merupakan refleksi hasil usaha selepas tiga tahun rangka kerja Ekonomi MADANI yang dilancarkan pada 27 Julai 2023. Rangka kerja tersebut merupakan naratif strategik yang bertujuan ‘Menaikkan Siling’ potensi negara, ‘Menaikkan Lantai’ kesejahteraan rakyat serta memperkukuh tatakelola dan institusi awam. Defisit fiskal telah mengecil daripada 6.4% pada 2021 kepada 3.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, manakala pinjaman Kerajaan telah berkurang kepada 9% daripada KDNK berbanding 13.6% dalam tempoh yang sama mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan terhadap disiplin fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].
Kedudukan fiskal yang kukuh ini dicapai seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, dengan pertumbuhan sebanyak 5.2% pada 2024 dan 2025. Asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan terus disokong oleh permintaan domestik dengan pelaburan swasta yang kukuh, dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM431.1 bilion pada 2025, manakala jumlah perdagangan melepasi paras RM3 trilion buat kali pertama bernilai RM3.06 trilion. Momentum ini berterusan sehingga 2026, dengan pertumbuhan ekonomi mencatat 5.4% pada suku pertama. Anggaran KDNK awalan pada suku kedua pula menunjukkan ekonomi berkembang 5.8% meletakkan potensi pertumbuhan pada trajektori yang lebih baik mengatasi unjuran awal.
Kedua-dua tranche tersebut mendapat penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings selaras dengan penarafan kredit berdaulat Malaysia dan prospek yang stabil. Terbitan dengan tempoh matang 5.75-tahun telah ditetapkan harga pada kadar keuntungan 4.612% setahun bersamaan dengan spread 15 mata asas berbanding kadar hasil Bil Perbendaharaan AS dengan tempoh matang yang sama. Terbitan dengan tempoh matang 10-tahun pula ditetapkan harga pada kadar keuntungan 4.949% setahun, bersamaan dengan spread 25 mata asas berbanding kadar hasil Bil Perbendaharaan AS dengan tempoh matang yang sama.
Program libat urus bersama pelabur telah berjaya menarik penyertaan 140 pelabur antarabangsa dari pelbagai segmen dan berkualiti tinggi, termasuk dana kekayaan berdaulat, bank pusat dan kerajaan, pengurus aset, institusi kewangan, syarikat insurans dan dana persaraan.
Dari segi geografi, terbitan bertempoh matang 5.75-tahun telah dilanggan oleh pelabur Asia (76%), Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) (19%) serta Amerika Syarikat (5%). Terbitan bertempoh matang 10-tahun pula telah diagihkan kepada pelabur Asia (63%), EMEA (18%) dan Amerika Syarikat (19%).
Dari segi jenis pelabur, terbitan bertempoh matang 5.75-tahun telah diagihkan kepada bank dan institusi kewangan (43%), pengurus dana dan aset (27%), bank pusat serta bank korporat dan swasta (15%), dana kekayaan berdaulat dan institusi sektor awam (8%) serta syarikat insurans dan dana persaraan (7%). Manakala, terbitan bertempoh matang 10-tahun pula diagihkan kepada pengurus dana dan aset (59%), institusi kewangan dan bank (30%), bank swasta dan korporat (7%) dan bank pusat (4%).
Terbitan ini dilaksanakan selaras dengan perundangan Regulation S dan Rule 144A, Akta Sekuriti Amerika Syarikat 1933. Terbitan ini juga akan disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange, Labuan International Financial Exchange dan Bursa Malaysia di bawah Exempt Regime.
Hasil daripada penerbitan ini akan digunakan oleh Kerajaan bagi tujuan am yang patuh Syariah, termasuk pembiayaan perbelanjaan pembangunan dan/atau pembiayaan semula obligasi sedia ada.
CIMB, HSBC, J.P. Morgan dan Standard Chartered Bank telah berperanan sebagai Joint Lead Managers dan Joint Bookrunners bagi terbitan ini. Struktur Syariah Sukuk telah diluluskan oleh Lembaga Jawatankuasa Syariah CIMB Islamic Bank Berhad, Jawatankuasa Penyeliaan Syariah Global HSBC, Jawatankuasa Penyeliaan Syariah Global Standard Chartered Bank dan Jawatankuasa Syariah JP Morgan.
KEMENTERIAN KEWANGAN