Malaysia bukan anti-Yahudi tapi menentang kezaliman
24 JUL : Malaysia bukan anti-Yahudi, sebaliknya menentang kezaliman serta penjajahan dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian itu menjadi asas dasar negara termasuk keputusan menyekat kemasukan warganegara Israel ke Malaysia.
Sebaliknya, katanya, pendirian negara berpaksikan prinsip mempertahankan hak rakyat Palestin daripada penindasan serta penjajahan.
“…masalahnya (bukan) kita menghina Yahudi. Kita menentang kekejaman, kezaliman dan penjajahan Israel. Itu yang kita kena jelaskan.
“Mereka bangkitkan seolah-olah kita ini antikaum. Kita bukan antikaum, kita antinegara yang zalim,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.
Anwar turut menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, termasuk penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) berhubung sekatan terhadap warganegara Israel.
Baru-baru ini, seorang warga AS diarahkan meninggalkan Malaysia selepas dikenal pasti memiliki kerakyatan Israel.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini memaklumkan tindakan itu dibuat selaras dengan dasar imigresen negara yang tidak mengiktiraf Israel serta pasport dikeluarkan negara berkenaan.
Sebelum ini, Anwar menegaskan pendirian Malaysia kekal mempertahankan hak rakyat Palestin selain menolak kezaliman, pencerobohan serta pembunuhan berterusan di Gaza.
Lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) mengecam pendirian Malaysia serta menggesa Washington mengambil tindakan terhadap negara ini selepas kenyataan Anwar untuk mengusir mana-mana rakyat Israel yang melanggar syarat ditetapkan.
Bagaimanapun, Anwar tidak pernah merujuk kepada kaum atau penganut agama Yahudi, sebaliknya menyebut warganegara Israel.
