25 JUL : Konflik adat yang berlarutan di Negeri Sembilan berpotensi mencetuskan kebuntuan dalam sistem pentadbiran negeri apabila melibatkan proses pelantikan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Datuk Andulika Mandalika (Tua Lembaga Waris di Darat), Sazali Mohamed Yasin berkata keadaan itu berlaku kerana pelantikan Menteri Besar memerlukan persetujuan Undang Yang Empat selain perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Menurut beliau, jika kerajaan sedia ada terus memerintah negeri selepas PRN, konflik berhubung institusi adat dan pelantikan Undang dijangka akan kekal berpanjangan.
“Jika Menteri Besar masih orang yang sama, beliau masih boleh menghadap Yang di-Pertuan Besar yang ke- 11 namun tidak mendapat restu Undang Yang Empat.
“Persoalan lain yang timbul ialah mengapa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini tidak dapat diteruskan kerana Undang Yang Empat tidak hadir…jika situasi seperti ini berulang, bila pula DUN hendak bersidang?
“Inilah yang saya maksudkan apabila mengatakan konflik ini akan berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menjadi tetamu dalam rancangan audio siar yang dikelola bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil pada Khamis.
Sementara itu, Datuk Raja Dimuda, Norman Naser berkata mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar perlu memperoleh persetujuan Undang Yang Empat sebelum memperkenankan pelantikan menteri besar.
“Apabila sesebuah parti memenangi pilihan raya dan ingin melantik Menteri Besar daripada parti mereka, calon tersebut perlu menghadap Yang di-Pertuan Besar bagi mendapatkan perkenan.
“Namun sebelum perkenan diberikan, Yang di-Pertuan Besar perlu terlebih dahulu memperoleh persetujuan daripada Undang Yang Empat…sekiranya Undang Yang Empat tidak bersetuju dengan calon yang dicadangkan, Yang di-Pertuan Besar perlu akur dengan keputusan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Sazali berkata konflik berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada pentadbiran Negeri Sembilan, malah boleh menjejaskan institusi diraja di negeri-negeri lain sekiranya tidak diselesaikan segera.
Katanya, sistem pemerintahan Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri dan diasaskan atas institusi adat yang diwarisi sejak pemerintahan Yang di-Pertuan Besar pertama, Tuanku Abdul Rahman.
“Walaupun sistem adat Negeri Sembilan nampak rumit, hakikatnya ia mempunyai struktur dan hierarki yang jelas…jika sistem ini tergugat, ia bukan sahaja memberi kesan kepada Negeri Sembilan, malah boleh memberi Kesan kepada institusi diraja di negeri-negeri lain,” katanya.
Dalam pada itu, Sazali berpandangam penyelesaian terbaik bagi kemelut ini adalah dengan pertukaran kerajaan negeri selepas PRN supaya kerajaan baharu dapat menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dan memperoleh persetujuan Undang Yang Empat.
“Gabungan kerajaan baharu dan Yang di-Pertuan Besar ke-12 akan dapat berperanan dengan persetujuan Undang Yang Empat…ia akan menjadi seluruh jentera kerajaan kembali berfungsi dengan sempurna.
“Selain itu, sekiranya kerajaan sedia ada terus mentadbir Negeri Sembilan, Pejabat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta pelaksanaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan perlu dikembalikan kepada landasan asal supaya semua pihak mematuhi peruntukan yang telah ditetapkan.
“Cara lain yang terbaik juga adalah memastikan martabat adat terus dipelihara dengan setiap proses pelantikan dan pemecatan pembesar adat dilaksanakan mengikut susur galur serta tatacara yang telah diamalkan sejak sekian lama…namun penyelesaian terbaik tetap ialah pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.
Mengulas pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong yang ke-11 pada 22 April lalu, Sazali berpandangan pelantikan itu tidak sah kerana didakwa tidak melalui saluran adat yang ditetapkan.
Katanya, pelantikan seseorang Undang hanya boleh dilakukan apabila berlaku kekosongan jawatan sedangkan penyandang sedia ada masih hidup dan belum dipecat mengikut proses adat.
“Mengikut adat, pelantikan Undang perlu melalui Datuk-Datuk Lembaga mengikut susur galur yang ditetapkan dan disahkan oleh Datuk Andulika sebelum diumumkan oleh Datuk Shahbandar.
“Undang sedia ada masih hidup dan masih menjalankan fungsinya…jadi Undang yang mana sebenarnya hendak digantikan?
“Dalam kes ini, proses tersebut tidak berlaku…kes ini hanya dibawa ke hulu sedangkan ia juga sepatutnya dibawa ke hilir mengikut proses adat yang lengkap,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL