25 JUL : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan pekarangan Masjid Al-Aqsa diketuai Menteri Keselamatan rejim Israel, Itamar Ben-Gvir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata tindakan Ben-Gvir bersama ribuan peneroka haram itu mencabul kesucian kiblat pertama umat Islam.
Menurut Zulkifli, tindakan berkenaan turut melanggar status quo tapak suci itu selain menjadi provokasi bagi membakar sentimen keagamaan.
“Pencerobohan keji ini bukan sahaja satu pencabulan terang-terangan terhadap kesucian kiblat pertama umat Islam dan status quo tapak suci tersebut, malah merupakan satu tindakan sengaja yang biadab bagi membakar sentimen serta mencetuskan provokasi keagamaan secara melampau,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kezaliman rejim Zionis sekali lagi membuktikan sikap tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta kebebasan beragama.
“Kezaliman yang direncana oleh rejim Zionis ini memperlihatkan sifat sebenar mereka yang menindas dan langsung tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta hak kebebasan beragama,” katanya.
Tegasnya, Masjid Al-Aqsa ialah hak umat Islam yang wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan.
Justeru itu, pihaknya menggesa badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan segera bagi menghentikan insiden berterusan itu.
Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia kekal berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin berteraskan semangat Malaysia MADANI.
Beliau turut menyeru umat Islam di dalam negara serta seluruh dunia menyatakan bantahan tanpa kompromi terhadap setiap bentuk pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa.
“Mewakili solidariti rakyat Malaysia berteraskan semangat Malaysia MADANI, JPM (Hal Ehwal Agama) teguh berpendirian bersama-sama perjuangan rakyat Palestin.
“Kami menyeru seluruh umat Islam di tanah air dan serata dunia untuk terus menyatukan fikrah, memperkasakan doa dan menyatakan penentangan tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan ini.
“Moga Allah memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa dan mengurniakan pertolongan serta kemenangan hakiki buat bumi Palestin,” katanya.