25 JUL : Kerajaan akan memuktamadkan dasar berkaitan rumah generasi kedua Felda dalam tempoh sebulan bagi membolehkan pembinaan rumah kedua di semua tanah rancangan dapat dilaksanakan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan dasar yang sudah dipersetujui itu masih memerlukan penyelarasan dengan kerajaan negeri serta agensi berkaitan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan penyedia bekalan air.
Beliau berkata, keputusan mengenai dasar itu sudah dipersetujui, namun pelaksanaannya memerlukan penyelarasan
“Saya akan buat keputusan dalam tempoh sebulan supaya ini menjadi keputusan dasar. Semua kawasan perumahan Felda diizinkan (membangun) rumah generasi kedua segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Perantau Sempena 70 Tahun Felda, hari ini.
Menurutnya, perkara itu sudah diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikannya sebelum ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Persekutuan sedia untuk membantu mana-mana kerajaan negeri yang berdepan dengan kesulitan kewangan.
“Kalau ada satu atau dua kerajaan negeri menghadapi kekangan kewangan, kita akan minta Kementerian Kewangan mengkaji bentuk bantuan yang boleh diberikan, sama ada sebahagian atau separuh daripada kos yang diperlukan,” katanya.
Selain itu, Anwar memaklumkan sudah mengarahkan pengurusan Felda mengemukakan laporan kemajuan setiap bulan bagi memastikan pelaksanaan tujuh inisiatif yang diumumkan sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun Felda tidak mengalami kelewatan.
Mengulas pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada sebuah rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka Felda, Anwar berkata Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
Katanya, draf awal pindaan itu sedang disediakan oleh Pengurus Besar Felda sebelum dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Felda.
“Sebaik sahaja diluluskan Lembaga Pengarah, saya akan segerakan kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen. Saya sudah beri arahan supaya RUU itu dibentangkan sebelum akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, soal pindaan akta bukan satu halangan. Jika Felda, Kerajaan Persekutuan, pengurusan Felda dan kerajaan negeri bersetuju, beberapa program boleh dilaksanakan terlebih dahulu tanpa menunggu pindaan akta diluluskan,” katanya.
Beliau berkata, kelulusan pindaan akta itu penting bagi menyelesaikan pelbagai isu perundangan yang telah lama membelenggu warga peneroka, sekali gus memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Pada 7 Julai lalu, Anwar mengumumkan tujuh inisiatif baharu sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun Felda, termasuk peruntukan RM990 juta bagi pembiayaan semula pinjaman sukuk Felda serta penghapusan sebahagian beban hutang peneroka.
Beliau turut mengumumkan peruntukan melebihi RM1 bilion pada tahun hadapan bagi meneruskan usaha membantu warga Felda, termasuk menyelesaikan isu penyediaan perumahan untuk generasi kedua peneroka.

Foto : Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar