22 OGOS : Malaysia dan Pakistan memeterai Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) bagi membolehkan banduan dari kedua-dua negara menjalani baki hukuman di negara asal masing-masing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Pakistan khususnya dalam memperkukuh kerjasama keselamatan serta undang-undang antara kedua-dua negara.
“Triti ini merupakan hasil daripada lima siri rundingan yang telah dilaksanakan sejak September 2025 melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 13 Mei lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook sempena lawatan kerjanya ke Islamabad.
Triti itu ditandatangani bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi selepas kunjungan hormatnya ke atas Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Pemeteraian berlangsung di Pejabat Perdana Menteri Pakistan dan disaksikan sendiri oleh Shehbaz.
Melalui ITOP, banduan warganegara Malaysia yang ditahan di Pakistan boleh dipindahkan ke Malaysia untuk menjalani baki hukuman, manakala banduan warganegara Pakistan di Malaysia boleh dihantar pulang ke negara asal bagi tujuan sama.
Langkah itu turut membolehkan banduan mengikuti program pemulihan dalam persekitaran lebih kondusif serta bersesuaian dengan acuan dan budaya negara masing-masing.
Pemeteraian triti itu menambah satu lagi instrumen perundangan dalam hubungan Malaysia-Pakistan yang telah lama terjalin, selain mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan, perundangan dan kepentingan bersama.
Dalam pada itu, Saifuddin berharap hubungan erat Malaysia dan Pakistan terus diperkasakan melalui kerjasama yang lebih substantif dalam bidang keselamatan, perundangan dan kepentingan bersama.