25 OGOS : Presiden Indonesia, Prabowo Subianto optimis kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah negara itu dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Beliau berkata, kerajaan sudah menggerakkan sumber berskala besar bagi menangani kebakaran terbabit termasuk puluhan helikopter, lebih 12 pesawat, ratusan telaga air serta pam selain ribuan anggota keselamatan dan penyelamat.
“Saya fikir ia telah mula dikawal dan diredakan di beberapa tempat. Saya berharap dalam tempoh satu atau dua minggu semuanya dapat diselesaikan,” katanya.
Prabowo berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program tenaga suria 100 gigawatt Indonesia serta upacara pecah tanah di Jembrana, Bali, hari ini.
Beliau berkata, Indonesia perlu terus berwaspada berikutan fenomena El Nino kuat melanda dunia tahun ini, malah diramalkan antara paling kuat pernah berlaku.
Menurutnya, beliau turut meninjau sendiri beberapa kawasan terjejas dan mendapati kerajaan wilayah, kementerian, agensi, tentera, polis serta pihak berkuasa pengurusan bencana melaksanakan operasi dengan berkesan.
Sabtu lalu, Prabowo berlepas ke Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah bagi meninjau operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah serta memimpin usaha tindak balas.
Beliau kemudian ke Sumatera pada Isnin bagi memantau operasi pemadaman kebakaran di wilayah berkenaan.