26 OGOS : Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia memperluas ruang kreativiti penggiat filem dengan proses tapisan kekal dilaksanakan bagi memastikan kepentingan awam dan keselamatan negara terpelihara.
KDN menerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya industri perfileman negara diberikan ruang lebih terbuka untuk berkarya, bereksperimen, menyampaikan pandangan serta mengembangkan pemikiran kreatif dan kritis.
Menurut KDN, pendekatan itu selari dengan usaha memperkasa industri perfileman Malaysia supaya terus berkembang, inovatif, kompetitif serta relevan dengan perubahan masyarakat dan perkembangan teknologi.
Dalam kenyataan hari ini, KDN menjelaskan klasifikasi serta tapisan merupakan dua proses berbeza tetapi saling melengkapi di bawah Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620].
“Setiap filem tetap melalui proses tapisan dan penilaian oleh LPF.
“Namun, sesuatu kandungan tidak semestinya memerlukan pemotongan sekiranya hasil penilaian mendapati kandungan tersebut masih sesuai dikekalkan di bawah klasifikasi umur yang ditetapkan,” menurut KDN.
KDN berkata klasifikasi menentukan kesesuaian kandungan mengikut kategori umur penonton, manakala tapisan menilai kandungan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang, dasar serta garis panduan berkuat kuasa.
Justeru, pemberian klasifikasi umur tidak bermaksud sesebuah filem dikecualikan daripada proses tapisan.
Jelas KDN, penilaian LPF mengambil kira adegan, dialog, audio, tema, perlakuan serta konteks penceritaan bagi menentukan sama ada sesuatu kandungan memerlukan penyesuaian atau pemotongan.
KDN berkata, ruang melalui klasifikasi umur membolehkan kreativiti berkembang tanpa mengetepikan tanggungjawab LPF dalam melindungi kepentingan awam.
“Namun, kandungan tetap perlu mematuhi undang-undang, dasar serta garis panduan berkuat kuasa.
“Sekiranya sesuatu kandungan didapati tidak memenuhi ketetapan tersebut, LPF akan mempertimbangkan tindakan atau penyesuaian yang bersesuaian berdasarkan konteks dan tahap risikonya.
“Kandungan yang tidak dapat disesuaikan bagi memenuhi ketetapan ditetapkan tidak akan diluluskan untuk tayangan,” kata KDN.
Dalam pada itu, KDN berkata LPF terus memperkemas pendekatan penapisan supaya lebih progresif, responsif, profesional serta bersesuaian dengan perkembangan industri.
“Penilaian berasaskan kandungan, konteks dan risiko akan membolehkan kawal selia dilaksanakan secara lebih bersasar, konsisten serta seimbang.
“Dalam melaksanakan pendekatan ini, kepentingan awam dan negara kekal menjadi pertimbangan utama. Kandungan yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, moral serta sosiobudaya masyarakat akan terus diberi penelitian sewajarnya,” kata KDN lagi.
Tambah kementerian itu, LPF turut mengambil kira kepentingan nasional dan sensitiviti hubungan antarabangsa sekiranya sesuatu kandungan berpotensi memberi kesan terhadap imej negara, keharmonian masyarakat atau hubungan Malaysia dengan negara lain.
“KDN dan LPF akan terus mendukung perkembangan industri perfileman negara dengan menyediakan ruang yang lebih luas kepada penggiat seni untuk menghasilkan karya yang kreatif, segar, kritis dan berkualiti.
“Pada masa yang sama, tanggungjawab untuk memelihara keselamatan, ketenteraman awam, keharmonian masyarakat dan kepentingan negara akan terus dilaksanakan secara tegas dan profesional,” kata KDN.
Menurut KDN, keterbukaan dalam berkarya dan tanggungjawab terhadap kepentingan negara perlu bergerak seiring di mana keseimbangan itu penting dalam membina ekosistem perfileman Malaysia yang matang, berdaya saing dan diyakini masyarakat.