26 OGOS : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel menceroboh serta merampas secara paksa Pusat Latihan Kalandia, fasiliti di bawah naungan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Kafr Aqab, Baitulmaqdis Timur pada 25 Ogos lalu.
Kementerian Luar atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata pusat berkenaan memainkan peranan penting menyediakan latihan vokasional kepada ratusan belia Palestin sejak 1952.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan jelas bertujuan menafikan akses golongan muda Palestin kepada pendidikan serta latihan, sekali gus mencabul hak asasi manusia mereka.
“Premis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak boleh dicerobohi dan hak keistimewaan serta kekebalannya perlu dihormati.
“Mandat UNRWA perlu dilindungi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan keperluan asas kepada pelarian Palestin,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan konkrit bagi mempertahankan undang-undang antarabangsa, Piagam PBB serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Malaysia turut menegaskan kepentingan melindungi mandat UNRWA bagi memastikan perkhidmatan serta keperluan asas pelarian Palestin terus disampaikan.