Kerugian berbilion ringgit tidak boleh dianggap perkara biasa
26 OGOS : Kerugian berbilion ringgit tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana ia menunjukkan wujudnya kelemahan dalam pengurusan sesebuah organisasi yang perlu ditangani secara tegas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sikap menganggap kerugian besar sebagai sesuatu yang lumrah hanya menyuburkan budaya terlalu selesa serta menghalang usaha memperbaiki kelemahan.
“Ada agensi dan syarikat rugi RM10 bilion, RM12 bilion, tetapi kita masih kata, ‘Okey, tidak ada apa-apa, biasa.’
“Biasa apa? Biasa lingkup? Tidak boleh begitu. Ini budaya yang akan menyebabkan kita terus selesa dan rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun ke-80 Telekom Malaysia Berhad (TM), hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata budaya selesa atau culture of contentment boleh melemahkan sesebuah negara apabila masyarakat berpuas hati dengan pencapaian sedia ada tanpa terdorong melakukan pembaharuan.
Menurutnya, budaya itu perlu ditangani bukan sahaja di universiti, malah dalam organisasi korporat termasuk TM.
“Kita harus mempunyai tekad untuk menolak budaya selesa. Selesa dengan pencapaian tidak seteruk terus bertoleransi dengan kerosakan,” katanya.
