28 OGOS : Pelajar Tingkatan Enam bakal menerima elaun menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan, Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelajar prauniversiti ketika ini tidak menerima sebarang elaun berbanding bantuan yang disediakan untuk pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima serta peringkat universiti.
“Baru-baru ini dalam dialog saya dengan anak-anak Prauniversiti, saya kata dari Darjah Satu sampai Tingkatan Lima ada elaun, universiti ada elaun (tapi) Tingkatan Enam, Prauniversiti tidak ada.
“Jadi saya umumkan, dalam Belanjawan kita bulan Oktober, saya akan sediakan peruntukan dan elaun untuk pelajar-pelajar tingkatan enam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar bersempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, hari ini.
Namun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah peruntukan berkenaan belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan semasa.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata cadangan pemberian elaun itu merupakan antara 12 resolusi dibangkitkan pada Kongres Prauniversiti MADANI yang berlangsung di Klang, pagi tadi.
Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima kesemua resolusi yang dikemukakan perwakilan pelajar dan akan menelitinya untuk penambahbaikan, selain mencari jalan bagi memastikan cadangan berkenaan dapat dilaksanakan.
