28 OGOS : Operasi pembenihan awan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Indonesia kini menjadi antara langkah utama kedua-dua negara bagi menangani jerebu rentas sempadan.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata kerjasama dengan Malaysia terus diperkukuh termasuk dalam aspek lain seperti pencegahan dan pemantauan.
“Mengenai isu jerebu, komunikasi dengan negara jiran terus berjalan. Perbincangan dua hala dengan Malaysia sudah diadakan dan kami bersetuju untuk memperkukuh kerjasama termasuk dari segi pencegahan, pemantauan serta sokongan bagi operasi pembenihan awan,” katanya, lapor Bernama.
Kerjasama itu susulan keadaan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat yang semakin menjejaskan kualiti udara di Sarawak.
Terdahulu, Indonesia sudah memberi kebenaran kepada Malaysia untuk memasuki ruang udaranya bagi menjalankan operasi pembenihan awan bagi menangani jerebu itu.
Setakat jam 9 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan mencecah 195, menghampiri paras sangat tidak sihat pada bacaan 201.
Berton berkata Malaysia turut menawarkan bantuan untuk memadamkan kebakaran dan menyatakan kesediaan membantu Indonesia.
Bagaimanapun, Jakarta belum membuat permohonan rasmi bagi bantuan aset pemadaman secara langsung seperti pengeboman air.
Beliau berkata Indonesia kekal terbuka untuk menerima kerjasama Malaysia sekiranya diperlukan, mengikut mekanisme sedia ada.
Pada 24 Ogos lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat langkah pencegahan serta pemadaman kebakaran bagi menangani jerebu rentas sempadan.
Jerebu berkenaan turut menjejaskan beberapa kawasan di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang merekodkan kualiti udara tidak sihat.