29 OGOS : Pakatan Harapan (PH) masih menanti Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk memulakan rundingan berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Ab Raud sudah memaklumkan beliau masih menanti keputusan dasar di peringkat Barisan Nasional (BN) dan UMNO pusat bagi menjalankan rundingan itu.
“(Rundingan bermula) apabila Rauf bersedia. Saya sebenarnya sudah berhubung dengan beliau.
“Beliau cakap beliau tengah tunggu beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO dan BN pusat untuk meneruskan perbincangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program MADANI Kita Bersama Komuniti Ampang Jaya, hari ini.
Sementara itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor ketika mengulas soal kesediaan pihaknya untuk bekerjasama dengan gabungan yang sering dikaitkan dengan gelaran ‘sakau’, beliau berkata ia tidak merujuk kepada parti.
“Ia adalah individu. Ia bukan merujuk kepada sebuah parti sebab itu, kita bukannya menetapkan harus jadi dengan UMNO.
“Kita menetapkan dan bekerjasama dengan pelbagai pihak. Bila UMNO cakap boleh nak bekerjasama, okeylah, kita bincang,” katanya.
Naib Presiden PKR itu berkata partinya juga tidak menolak untuk meneroka kerjasama dengan Bersatu jika rundingan PH-BN gagal mencapai persefahaman.
“Kita tengok keadaanlah (kerjasama dengan Bersatu). Kita tak ada masalah tapi PH intact dan kita berdepan dengan cabaran di saat menang susah. Itu menjadi kekuatan kita selama ini.
“Kalau UMNO kita boleh terima dan pernah bekerjasama. Sebelum itu (PH) bekerjasama dengan Bersatu . Selepas itu ada sedikit masalah. PAS pun pernah bekerjasama dengan Bersatu. PAS pernah bercerai dengan Bersatu termasuk dengan UMNO. PAS pun nak kahwin dengan UMNO.
“Jadi kalau orang menilai itu sebagai ketidaktentuan politik. Ia memang tidak menentulah. Tetapi kalau orang nampak ia sebagai cara kematangan politik baharu. Ia mungkin akan mengubah landskap politik Malaysia,” katanya.
Terdahulu, BN menyatakan kesediaan untuk berunding dengan mana-mana parti politik dan malam tadi, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk memberi ruang kepada kepimpinan negeri mengadakan perbincangan serta rundingan dengan parti politik yang berminat bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.