30 OGOS : Perdana Menteri menyeru agar setiap rakyat Malaysia terus menyemai semangat kemerdekaan dalam jiwa dan pemikiran supaya perpaduan semua kaum kekal utuh di negara ini.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemerdekaan sebenar turut bergantung kepada pembentukan jiwa rakyat yang benar-benar merdeka.
“Ini hambatan dan cabaran paling besar. Sebab itu, untuk membina semula dari robohan, menanam di jiwa dan pemikiran kita semangat kemerdekaan. Maka, kita harus bersatu.
“Siapa yang harus bersatu? Bapa-bapa kita sebut bukan bersatu kaum atau daerah atau wilayah, tetapi bersatu setiap dan segenap baka. Maknanya, segenap warga.
“Orang Melayu tentunya beliau sebut sebagai induk dan Bumiputera, tetapi semua suku kaum harus terus bersatu memainkan peranan membela hak keadilan pusaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meski berdepan pelbagai permasalahan, pasang surut dan cabaran, Malaysia kekal aman damai.
Menurut beliau, keharmonian yang dinikmati Malaysia hari ini tidak wujud tanpa cabaran, namun kesediaan rakyat mengetepikan perbezaan dan mengutamakan nilai kemanusiaan membolehkan negara terus berdiri sebagai sebuah negara yang aman.
“Ketika merdeka 1957, kalau kita teliti liputan media asing, mereka tidak percaya Malaya atau Tanah Melayu ketika itu mampu bertahan dan merangkul kekuatan semua kaum, kerana pengalaman di banyak negara-negara Asia, Afrika dan di Amerika berkecai.
“Namun, kita buktikan kita bertahan. Bukan tidak ada musim tragis dan tragedi, tetapi kita bertahan. Malah dengan wawasan besar pemimpin, negarawan ketika itu bersama tokoh-tokoh agung besar dari Malaysia dari satu, sekarang bergabung tiga kekuatan, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.
