1 SEPT : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas menteri bagi membantu siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
SPRM dalam kenyataan berkata bekas Menteri berkenaan ditahan kira-kira jam 4.30 petang bagi membantu siasatan berkaitan isu pajakan hotel di Arab Saudi.
“Bekas menteri pula ditahan susulan RCI Tabung Haji. Bekas menteri berkenaan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok,” menurut kenyataan yang dimuat naik akaun TikTok SPRM, hari ini.
Penahanan berkenaan merupakan perkembangan terbaharu siasatan SPRM susulan pendedahan laporan RCI TH, selepas beberapa individu termasuk bekas pemimpin dan pengurusan kanan institusi itu turut ditahan sebelum ini.
Pada 26 Ogos lalu, SPRM menahan bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan berkaitan laporan RCI berkenaan.
Sebelum itu, pada 15 Ogos, SPRM turut menahan tujuh individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.
Siasatan itu antara lain melibatkan isu rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram susulan dapatan RCI TH.
RCI berkenaan ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.