KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI) DAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] yang mula berkuat kuasa pada 28 Ogos 2026 lalu merupakan hasil kerjasama antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan, progresif dan sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial serta perdagangan antarabangsa.
Akta 877 menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa. Akta ini berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh UNCITRAL yang disesuaikan dengan undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.
Penguatkuasaan Akta 877 akan meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan, memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan, meningkatkan kepastian undang-undang
serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan.
Akta ini turut membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan.
Kerajaan MADANI komited untuk memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)
DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.