3 SEPT : Hala tuju dan kerjasama politik UMNO dalam Kerajaan Perpaduan antara usul popular yang akan menjadi tumpuan utama pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, minggu depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata agenda Rumah Bangsa turut mendapat perhatian menerusi usul dibawa perwakilan dari peringkat bahagian.
Katanya, kedua-dua perkara itu mencerminkan antara perkara utama menjadi perhatian akar umbi, sekali gus bakal menjadi sebahagian daripada perbincangan bagi menentukan hala tuju parti.
“Dua usul paling popular yang diterima daripada bahagian-bahagian kali ini ialah soal hala tuju dan kerjasama politik UMNO khususnya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan serta agenda Rumah Bangsa yang digagaskan pada perhimpunan lalu.
“Ibu Pejabat tidak pernah dan tidak akan menyekat mana-mana pembahas untuk menyuarakan apa jua isu atau sentimen akar umbi kerana perhimpunan ini adalah wadah terbaik untuk menilai serta memutuskan hala tuju parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata UMNO juga tidak akan menyekat perwakilan bersuara termasuk perkara berkaitan penahanan bekas Pengerusi Tabung Haji dan seorang bekas menteri.
“Kita tidak akan pernah menyekat pembahas-pembahas negeri untuk membahaskan apa saja jika dilihat sentimen-sentimen di media sosial memang itu antara topik-topik hangat tapi saya tidak mahu mendahului Perhimpunan Agung UMNO.
“Kita tidak pernah dan tidak akan pernah menghalang pembahas untuk menyuarakan sebab mereka ini mewakili suara-suara akar umbi mereka dipilih oleh perhubungan negeri masing-masing dengan usul-usul yang dibahaskan di negeri masing-masing.
“Jadi adalah tidak wajar sekiranya ibu pejabat menghadkan apa yang perlu, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Biarlah mereka suarakan dan kalau isu-isu terkini yang dibangkitkan menjadi satu isu yang boleh menentukan halatuju yang terbaik dan akhirnya ikut perlembagaan parti,” katanya.
PAU 2026 dijadual berlangsung 9 hingga 12 September di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan lebih 50,000 pengunjung dijangka hadir.
Program pra-perhimpunan pula bermula 8 September dengan Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia Kali Kedua, Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 serta program Voice of Her anjuran Wanita UMNO.
Persidangan penuh ketiga-tiga sayap akan berlangsung pada 10 September sebelum Perhimpunan Agung UMNO Induk bermula 11 September.