Kerajaan tegas tidak lindungi syarikat Malaysia jika terlibat bakar hutan
8 SEPT : Malaysia tidak akan mempertahankan mana-mana syarikat tempatan sekiranya terbukti mereka melanggar undang-undang atau mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan di Indonesia.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini dakwaan mengenai penglibatan syarikat Malaysia dalam pembakaran terbuka di Indonesia yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan masih belum disahkan.
Katanya, sebarang dakwaan melibatkan syarikat tempatan perlu diberikan ruang untuk disiasat pihak berkuasa Indonesia.
“Itu setakat ini hanyalah dakwaan dan tuduhan. Kebakaran yang kami dapat kesan adalah daripada hutan.
“Walau bagaimanapun, kalau ada syarikat Malaysia terkesan, kita beri ruang untuk Indonesia ambil tindakan dan pihak Malaysia tidak akan mempertahankan jika ada kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat pada Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berpandangan mekanisme ASEAN bagi menangani isu jerebu rentas sempadan masih boleh diperkukuh supaya tindakan lebih berkesan dapat diambil.
“Saya rasa ada ruang untuk penambahbaikan. Menteri-menteri ASEAN perlu betul-betul teliti semula, sebab jerebu sememangnya sedang memberi kesan kepada kehidupan dan kesihatan awam, lebih-lebih lagi mereka di kawasan Serian, Sarawak,” katanya.
Menurutnya, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya dirasai secara langsung penduduk, khususnya dari aspek kesihatan dan kehidupan harian.
Untuk rekod, kebakaran hutan dan tanah di Indonesia ketika ini telah berlarutan selama beberapa minggu, terutama di beberapa kawasan Sumatera dan Kalimantan, susulan keadaan cuaca panas serta kering. Asap daripada kebakaran itu merebak ke beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Singapura, Brunei dan Filipina.
Di Sarawak, keadaan jerebu semakin buruk sehingga bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian melepasi paras 500, mendorong pengisytiharan darurat pada 4 September. Bagaimanapun, pengisytiharan itu ditarik balik pada 7 September selepas bacaan udara kembali di bawah paras berbahaya.
