Keputusan Lembaga Pengampunan tidak jejas usaha perangi rasuah
18 SEPT : Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjejaskan pendirian Kerajaan MADANI untuk terus memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kes rasuah lain membabitkan Najib yang masih berjalan perlu diteruskan mengikut landasan undang-undang.
“Tapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik.
“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat, ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau menjalankan tugas memberi nasihat mengenai implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum.
Katanya, beliau turut mengikuti nasihat serta panduan yang diberikan secara lengkap oleh Peguam Negara.
Justeru, Anwar berkata kerajaan akan terus memastikan semua kes berkaitan rasuah dan salah laku dibawa mengikut proses undang-undang tanpa mengira individu terbabit.
“Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah. Negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan serta dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum.
“Negara ini tidak lagi anggap ringan apa-apa salah laku ataupun salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita,” katanya.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, pagi tadi.
Najib menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022, menyaksikan beliau mula menjalani hukuman penjara.
Pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
