3 NOV: Manifesto bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dilancarkan Jumaat ini, jam 5 petang di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto itu akan menggariskan dasar yang dibentuk berdasarkan keperluan rakyat, termasuk hasil maklum balas menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan perkara yang dibangkitkan rakyat di lapangan diterjemahkan kepada dasar untuk dilaksanakan sekiranya gabungan berkenaan diberi mandat mentadbir negeri.
“Tapi kita, menjadikan realiti daripada dapatan yang kita dapati dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat, diterjemahkan untuk menjadi dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, hari ini.
Menurut Ketua Menteri Melaka itu, dalam jalinan kerjasama dengan PN, persiapan dan pergerakan jentera kempen penting untuk disusun secara terancang menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata, kerjasama itu menyasarkan peningkatan penguasaan daripada 21 kepada 25 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Justeru, beliau mahu kesepakatan kedua-dua gabungan diterjemahkan menerusi gerak kerja kempen, usaha meraih undi serta penggunaan bilik gerakan dan manifesto yang sama.
Katanya, setiap parti mempunyai ideologi politik tersendiri, namun BN dan PN akan membawa pendekatan masing-masing dalam usaha menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.