22 SEPT : “Kita sibuk berpecah. Kerja mereka tetap berjalan. Tahniah MADANI!! Demikian reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh susulan keputusan terkini Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak lagi mewajibkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS).
Ketetapan itu membabitkan IPS yang dikendalikan syarikat sendirian berhad di bawah KPM.
Menurut KPM, keputusan berkenaan dibuat susulan sesi perbincangan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan.
“KPM mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad seperti yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada tahun 2006.
“Susulan sesi perbincangan antara KPM dengan MITI, KPM bersetuju ketetapan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS bawah KPM,” menurut KPM dalam kenyataan.
Menurut KPM, keputusan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
“KPM menghargai sumbangan semua pengusaha IPS dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia,” menurut kenyataan itu.