22 SEPT : Hampir 2,000 sukarelawan di Melaka kini mempunyai pengetahuan asas bantuan kecemasan menerusi inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) sejak diperkenalkan pada 2023.
Program cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk mempelajari kemahiran asas yang boleh digunakan ketika berdepan situasi kecemasan.
Eksekutif Sumber Manusia St John Ambulans Malaysia (SJAM) Melaka, Mohamad Fuad Rosman berkata jumlah berkenaan merangkumi penyertaan sejak awal pelaksanaan program sehingga tahun ini.
“Bagi 2026 sahaja kira-kira 400 peserta telah mengikuti latihan PARAKOM yang dilaksanakan menerusi enam kursus Tahap Satu dan empat kursus Tahap Dua.
“Jumlah sukarelawan dijangka terus meningkat sekiranya latihan berkenaan diteruskan pada masa akan datang,” katanya, lapor Melaka Hari Ini.
Menurutnya, penyertaan masyarakat dalam latihan PARAKOM penting bagi melahirkan lebih ramai individu yang mempunyai pengetahuan asas bantuan kecemasan.
“Peserta bukan sahaja mendapat ilmu untuk diri sendiri, malah boleh menggunakan kemahiran yang dipelajari sekiranya berlaku kecemasan melibatkan keluarga atau komuniti.
“Kesinambungan latihan PARAKOM juga penting bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan masyarakat sebelum ketibaan pasukan perubatan atau penyelamat profesional,” katanya.
Inisiatif berkenaan turut membantu meningkatkan keupayaan komuniti untuk memberikan bantuan awal ketika berdepan kecemasan sebelum ketibaan pasukan perubatan atau penyelamat profesional.