30 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani senada perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan kepada mangsa konflik perlu disegerakan dan usaha damai diperkukuh.
Perkara itu dipersetujui dalam perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin petang ini yang turut menyentuh perkembangan terkini rundingan damai serta pergolakan di Asia Barat.
Anwar berkata perbincangan itu memberi tumpuan kepada penderitaan rakyat Palestin di Gaza selain usaha meredakan ketegangan yang membabitkan Iran.
“Kami senada bahawa perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan segala ikhtiar damai diperkukuh demi menghentikan penderitaan rakyat,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia akan terus mendukung usaha diplomatik bersama Qatar dan rakan serantau bagi menjamin keamanan yang berkekalan.
Dalam perbualan itu, Sheikh Tamim turut menyampaikan ucapan takziah kepada Anwar atas pemergian abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim.
Baginda turut menitipkan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan harapan agar hubungan erat Malaysia-Qatar terus berkembang, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas undangan Sheikha Moza kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).