5 OKT : Hampir 20 tahun menjadi tempat berlindung, beberapa pondok yang didiami keluarga Rohingya di pinggir Jammu, India akhirnya dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan pencerobohan tanah hutan, Sabtu lalu.
Operasi di Rahim Nagar, dalam kawasan Hutan Raika itu menyaksikan hampir sedozen struktur dirobohkan Jabatan Perhutanan dengan bantuan Pasukan Perlindungan Hutan, pegawai hasil dan polis.
Kebanyakan pondok berkenaan didiami keluarga Rohingya yang mendakwa mereka menetap di kawasan itu selepas melarikan diri daripada penganiayaan dan ketidakstabilan di Myanmar.
“Kami melarikan diri daripada penindasan di negara sendiri dan berlindung di sini kerana terpaksa. Kami bukan mahu tinggal secara kekal,” kata seorang penduduk Rohingya, Abdul Khaliq, menurut The Print.
Menurut pihak berkuasa, struktur berkenaan dibina secara haram di kawasan seluas kira-kira lima hektar dan tindakan itu tidak menyasarkan mana-mana komuniti tertentu.
Penghuni juga dikatakan diberi dua kali amaran dalam tempoh dua minggu serta peluang mengalihkan barangan sebelum perobohan dijalankan.
Wanita dan kanak-kanak dipindahkan ke lokasi selamat dengan bantuan anggota polis wanita ketika operasi berlangsung.
Bagaimanapun, sebahagian penduduk mempertikaikan dakwaan bahawa notis mencukupi telah diberikan.
Operasi itu menyusuli perobohan penempatan Rohingya di Karyani Talab bulan lalu.
Data kerajaan menunjukkan seramai 7,656 Rohingya dikenal pasti di seluruh Jammu dan Kashmir, dengan 6,737 daripadanya berada di wilayah Jammu manakala 919 di Kashmir.
