6 OKT : Keyakinan sektor perniagaan terhadap potensi dan prospek ekonomi Melaka terus menunjukkan perkembangan positif apabila semakin banyak pihak memilih negeri itu untuk bertapak dan mengembangkan operasi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keyakinan berkenaan perlu disambut baik selagi ia mampu mencipta nilai kepada ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan perniagaan serta membawa manfaat nyata kepada rakyat.
“Melaka mungkin kecil dari segi keluasan, tetapi kita tidak pernah kecil dari segi peluang dan potensi.
“Sebab itu, setiap keyakinan untuk bertapak, melabur dan berkembang di negeri ini kita sambut dengan tangan terbuka, selagi mana ia mampu mencipta nilai kepada ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan serta membawa manfaat yang nyata kepada rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ar-Rahnu X’Change Cawangan Cheng Perdana, di Taman Desa Cheng Perdana, hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, contoh terbaharu adalah melalui keputusan Rakyat Management Services memilih Melaka sebagai negeri pertama di luar Lembah Klang untuk memperluaskan operasinya.
Dalam pada itu, beliau berkata pertumbuhan kawasan kediaman dan kegiatan komersial turut mewujudkan permintaan terhadap perkhidmatan kewangan yang lebih dekat, mudah dicapai dan diyakini masyarakat.
Menurutnya, Melaka kini mempunyai 33,416 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berdaftar yang merangkumi pelbagai sektor perniagaan dan keusahawanan.
“Pastinya, di sebalik setiap angka ini ada pemilik yang mahu berkembang, pekerja yang mencari rezeki dan keluarga yang bergantung kepada sesebuah perniagaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap ruang kerjasama antara kerajaan negeri, Bank Rakyat dan Rakyat Management Services dapat diteroka dengan lebih luas, bukan sekadar dalam pengembangan rangkaian Ar-Rahnu X’Change, tetapi juga dalam memperkukuh ekosistem PMKS serta komuniti perniagaan di negeri ini.
Beliau turut mahu institusi kewangan yang bertapak di Melaka mengambil peranan dalam memajukan usahawan tempatan dengan mengenali keperluan mereka, mendekatkan kemudahan pembiayaan dan membantu mereka merebut peluang untuk berkembang.
Katanya, kerajaan negeri mahu PMKS di Melaka terus berkembang daripada perniagaan kecil kepada perusahaan yang lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran lebih luas.
