13 NOV : Usaha menarik pelaburan baharu dan memperluas peluang pekerjaan kepada rakyat akan terus menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) sekiranya diberi mandat menerajui Kerajaan Negeri Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, kesinambungan dasar pembangunan sedia ada penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, komitmen syarikat antarabangsa yang terus mengembangkan operasi di Melaka membuktikan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negeri.
Sebagai contoh, KOA Denko Malaysia Sdn Bhd yang sudah beroperasi lebih 53 tahun di Melaka bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu menjelang tahun depan.
“Kerajaan Negeri akan memastikan usaha membawa masuk pelaburan baharu berjalan seiring dengan penyediaan peluang pekerjaan yang dapat dinikmati rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Grand Opening Ceremony KOA Denko Malaysia Sdn Bhd, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Pengarah Urusan KOA Denko Malaysia Sdn Bhd, Akira Kinoshita dan Pengerusinya, Kazuaki Kitazawa.
Ab Rauf berkata, perkembangan operasi syarikat itu turut mencerminkan pengiktirafan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Syarikat ini sudah bertapak lebih 53 tahun di Melaka yang turut menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini menjelang tahun hadapan.
“Ini menunjukkan bahawa keyakinan terhadap pentadbiran dan juga kestabilan Kerajaan Negeri selama ini mendapat penghargaan dan pengiktirafan syarikat antarabangsa yang terus mengembangkan pelaburannya di Negeri Melaka,” katanya.

*Foto : Facebook Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka