7 OKT : 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan membawa pertikaian pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ke Mahkamah Tinggi Seremban.
Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan pelantikan yang diwartakan pada 24 September lalu sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka.
Saman Pemula itu difailkan pada 5 Oktober menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan dinamakan sebagai defendan.
Kesemua plaintif ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Antara persoalan yang mahu diputuskan mahkamah ialah sama ada pelantikan Exco, selain menteri besar, boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat menteri besar.
Mereka turut memohon mahkamah menentukan persoalan Perlembagaan berkaitan kuasa membatalkan pelantikan Exco berkenaan.
Pertikaian itu tercetus selepas pelantikan 10 Exco berkenaan dibatalkan dan diwartakan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S. P.U. 18 bertarikh 24 September 2026.
Pembatalan itu dinyatakan berkuat kuasa pada 20 September dan dibuat berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sebelum itu, mereka mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 7 Ogos lalu.
Pelantikan itu menyaksikan 10 ADUN, termasuk lapan muka baharu dan dua yang dikekalkan menyertai barisan pentadbiran negeri.
Warta berkenaan turut menyatakan kesemua Exco terbabit mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia sebelum menjalankan tugas sebagai anggota pentadbiran negeri.
Kini, persoalan mengenai bidang kuasa membatalkan pelantikan berkenaan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan.