8 OKT : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 126 bantahan berhubung Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) bahagian pilihan raya di Sarawak.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 133 representasi yang diterima SPR sepanjang tempoh Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berlangsung selama sebulan pada 1 hingga 30 September lalu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 126 representasi merupakan representasi membantah, manakala tujuh representasi merupakan sokongan terhadap Syor KSP tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas SPR bagi meneliti dan membincangkan kesemua representasi diterima khususnya representasi yang memenuhi syarat untuk dipertimbangkan bagi tujuan Siasatan Tempatan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tatacara Kajian Semula Persempadanan berkuat kuasa.
“SPR akan membuat ketetapan berhubung proses Siasatan Tempatan selepas mesyuarat khas tersebut dan notis untuk menghadiri prosiding siasatan tempatan akan dihantar kepada semua pihak yang layak selewat-lewatnya dua minggu sebelum prosiding dijalankan,” katanya.
Kajian semula itu merupakan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ketujuh dan prosesnya bermula selepas notis berhubung syor berkenaan disiarkan pada 1 September 2026.
Menurut Khairul lagi, dalam menjalankan kajian ini, SPR diberikan tempoh masa selama dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut bermula dari tarikh notis yang disebut dalam Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan iaitu 1 September 2026 sehinggalah laporan akhir kajian dikemukakan kepada Perdana Menteri seperti yang diperuntukan dalam Fasal 10, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.
Hasil kajian dan proses yang dijalankan SPR itu akan menentukan bentuk akhir syor persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak.