16 OKT : Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah lori ketika sedang menjalankan tugas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran susur keluar Senawang, malam tadi.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata berdasarkan maklumat awal, dalam kejadian 10.50 malam itu, kedua-dua anggota JPJ terbabit sedang menjalankan rondaan dan menahan sebuah lori jenis low loader berhampiran susur persimpangan Senawang.
Bagaimanapun, sebuah lori lain yang datang dari arah belakang dipercayai merempuh anggota serta kenderaan JPJ berkenaan.
Aedy Fadly berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kemalangan berkenaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan jenazah anggota yang maut itu dijangka dikebumikan di Seremban hari ini selepas proses bedah siasat di Hospital Seremban.
“Anggota yang meninggal dunia itu akan menjalani proses bedah siasat pada jam 9 pagi ini.
“Selepas selesai, jenazah akan diuruskan oleh pihak JPJ untuk dikebumikan di Seremban,” katanya, lapor Buletin TV3.
Aedy Fadly turut memaklumkan soerang lagi anggotanya yang cedera sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan.