19 OKT : Tambang perjalanan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer bermula RM125 sehala bagi perkhidmatan transit, manakala tambang ekspres bermula RM147.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kadar itu menggunakan mekanisme tambang dinamik yang membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
“RM125 merupakan kadar tambang permulaan bagi kelas ekonomi transit Gombak ke Kota Bharu, dan bukannya harga tetap untuk semua perjalanan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, mekanisme tambang dinamik membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk, selain mempunyai elemen intervensi sekiranya harga meningkat terlalu tinggi.
Cadangan pelaksanaan mekanisme tambang dinamik itu diluluskan jemaah menteri pada 16 Oktober lalu.
Sementara itu, tambang bagi laluan Gombak ke Kuala Terengganu bermula RM95 bagi transit dan RM110 bagi ekspres.
Bagi perjalanan ke KotaSAS pula ditawarkan pada kadar permulaan RM60 bagi transit dan RM68 bagi ekspres.
Perkhidmatan transit akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala ekspres hanya berhenti di empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan diskaun tambang sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan.
Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun sebanyak 40 peratus.
Penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November ini, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pada 12 Disember 2026, tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
