21 OKT : Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Mohd Shuhaily, 54 membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani dan memohon untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA.
Beliau turut berdepan pertuduhan sama terhadap seorang lagi anggota polis, Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan dalam tempoh masa yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Datuk Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily diwakili sembilan peguam yang diketuai Kitson Foong disertai Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Muhammad Rafique Rashid Ali, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff dan Dr Badruzzaman Ishak.
Pihak pembelaan memohon jaminan RM1,000 sementara pihak pendakwaan memohon jaminan RM5,000 serta syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen, selain mengarahkan tertuduh hadir pada setiap prosiding perbicaraan.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata beliau proses perundangan yang sedang berjalan dan enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan.
“Saya akan membiarkan proses mahkamah berjalan sebagaimana sepatutnya. Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberikan sokongan dan doa. Itulah yang memberi saya kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan proses ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sidadng media tersebut merupakan yang terakhir dan kenyataan lanjut selepas ini hanya akan dibuat melalui penguamnya.
Insiden itu tular selepas video Mohd Shuhaily berkasar dengan dua individu di Terminal 1 KLIA tersebar di media sosial.
Kejadian itu berlaku pada 28 September lalu, ketika Mohd Shuhaily bersama pasukannya melakukan tinjauan kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA menjelang ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Dalam tinjauan berkenaan, AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) turut menjalankan operasi terhadap sindiket ‘ulat’ warga asing dan menahan seorang individu untuk pemeriksaan lanjut.
Ketika pemeriksaan itu, dua individu yang tidak terbabit dalam pasukan operasi dilaporkan merakam kejadian dan diarah memadamkan rakaman sebelum berlaku insiden tersebut.
Video yang kemudian tular pula disahkan sebagai rakaman sebenar daripada sistem CCTV KLIA, tetapi menurut AKPS, klip itu bukan daripada sumber asal kerana ia dipercayai dirakam semula menggunakan peranti lain sebelum disebarkan.