21 OKT : Tempoh menunggu untuk menunaikan haji dijangka dapat dikurangkan daripada sekitar 150 tahun kepada bawah 70 tahun menerusi pelaksanaan Seruan Istito’ah, berdasarkan anggaran semasa Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pengurangan itu bagaimanapun bergantung kepada jumlah pendeposit yang memenuhi syarat simpanan minimum RM15,000 serta kuota haji rasmi Malaysia pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai, Tuan Haji Abdul Latiff Abdul Rahman mengenai tempoh menunggu haji dan nasib pendeposit yang sudah lama berdaftar tetapi belum mencapai simpanan minimum ditetapkan.
Menurutnya, anggaran berkenaan juga boleh berubah bergantung kepada perkembangan semasa, khususnya di Tanah Suci.
Bagi pendeposit yang sudah mendaftar haji, mereka diberikan tempoh peralihan lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000.
“Bermula 1 Januari 2029, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran di kalangan mereka yang telah mencapai simpanan minimum RM15,000,” katanya.
Bagi pendeposit yang sudah mendaftar tetapi masih belum mencapai jumlah simpanan minimum itu, kedudukan mereka akan dimasukkan dalam giliran haji aktif apabila syarat kesiapsiagaan simpanan berkenaan dipenuhi.
Sebelum ini, pendeposit yang baru mendaftar haji perlu menunggu sekitar 150 tahun untuk mendapat tawaran menunaikan ibadah itu di bawah sistem giliran sedia ada.